Sistem Tagang ubah landskap Sungai Entebar
- Sarawak Press Daily
- Jan 26, 2020
- 2 min read


Bermula sebagai suatu usaha untuk memulihara alam sekitar, akhirnya Sistem Tagal yang diperkenalkan pada 2010 berjaya mengubah Sungai Entebar di Batu Lintang, Undop, Sarawak menjadi spa ikan semula jadi dan pusat tarikan ekopelancongan dikenali ramai.
Pelaksanaan Projek Sistem Tagal terbukti berkesan dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk menerusi penternakan pelbagai spesies ikan air tawar dan menarik kehadiran pengunjung ke situ.
Dilancarkan sejak 10 tahun lalu, projek inovatif hasil kerjasama dengan Jabatan Perikanan Darat itu membawa banyak manfaat kepada masyarakat setempat dalam pelbagai aspek, termasuk mengubah imej Wong Pupu sebagai lokasi pelancongan popular di kawasan pinggir Bandar Sri Aman.
Menurut Tuai Rumah Along, Entebar, melalui pelaksanaan sistem tersebut penduduk berganding bahu untuk memulihara sungai tersebut dan alam sekitar serta ekosistem untuk manfaat generasi akan datang.
Selain itu, Along berkata, pemilihan Sungai Entebar sebagai pelaksanaan sistem tagal membawa kemajuan terhadap kampung terbabit ke satu tahap yang lebih tinggi iaitu pembentukan kawasan baharu dalam eko-pelancongan Sarawak apatah lagi disitulah terletaknya air terjun Wong Pupu.
"Tidak pernah walau sekali kawasan ini menerima kunjungan masyarakat luar, termasuk pelancong sebelum ini. Malah, ada di antara penduduk Sarawak sendiri tidak mengetahui kewujudan kampung ini.
"Namun, imej itu berubah selepas sistem tagal diperkenalkan kepada khalayak umum. Di peringkat awal pelaksanaannya, ia masih belum memberikan pendedahan terperinci kepada masyarakat luar terhadap potensi eko-pelancongan yang terdapat di Batu Lintang.
Menurutnya lagi, dengan hanya bayaran masuk serendah RM5 bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti disediakan kepada mereka, termasuk dibawa melawat lubuk ikan, berpeluang memberi makan ikan dan mengenali jenis pokok serta tumbuhan yang menjadi makanan semula jadi ternakan terbabit di tebing sungai dan tiada sesiapa dibenarkan untuk memancing atau melakukan aktiviti perikanan di sungai tersebut.
“Kita juga tengah merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membangunkan dan mewartakan kawasan Air Terjun Wong Pupu yang terletak berhampiran sebagai kawasan pelancongan selepas kejayaan projek tagal Sungai Entebar ini” tambahnya lagi.
Melihat kepada perkembangan positif ini, Pemancha Michael John yang juga pewaris utama bagi kawasan Tagal dan Air Terjun Wong Pupu turut menyatakan bahawa pembangunan Sistem Tagal Sg Entebar dan Air Terjun Wong Pupu perlu dilakukan secara mapan dengan perancangan yang rapi dan terkawal agar manfaatnya bukan hanya akan membawa kepada tarikan pelancong, bahkan akan dapat meningkatkan tingkat pendapatan masyarakat setempat dalam aspek pembangunan modal insan dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan seperti pemandu pelancong, pekerja perkhidmatan, industri kecil dan sederhana dengan penjualan bahan makanan dan bahan kraf sebagai cenderahati.
Melalui perkerjaan dalam sektor perkhidmatan pula menurutnya , ekosistem juga akan lebih terjamin kerana adanya pekerja yang bertanggungjawab bagi tujuan pemuliharaan.
"Buat masa ini, kita hanya menyediakan tempat istirehat sementara di kawasan tagal untuk kemudahan pengunjung dari luar, justeru, kita berharap ada pihak tampil menyediakan peruntukan bagi pembinaan inap desa di kawasn ini agar pengunjung dapat meluangkan lebih banyak masa menerokai keindahan landskap persekitaran kampung ini," katanya.




Comments