JAKIM anjur solat hajat malam ini
- Sarawak Press Daily
- Jan 26, 2020
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan solat hajat dan doa selamat malam ini, susulan pengesanan kes jangkitan coronavirus di negara ini. Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Paimuzi Yahya, berkata solat hajat dan doa selamat itu diadakan selepas solat Isyak di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. “JAKIM menjemput umat Islam untuk turut serta menunaikan solat hajat dan memperbanyakkan doa mengikut saranan amalan kesihatan seperti yang disyorkan Kementerian Kesihatan.
“JAKIM juga memohon kerjasama dan jasa baik semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN dan MAIN) untuk sama-sama menganjurkan solat hajat serta doa di masjid bawah seliaan mereka di seluruh negara, supaya Malaysia dan dunia dilindungi dari wabak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan, tiga kes jangkitan coronavirus 2019-nCoV pertama di negara ini, membabitkan pelancong warga China yang juga ahli keluarga kes positif yang dikesan di Singapura. Ketiga-tiganya yang kini dalam kuarantin dan rawatan di Hospital Sungai Buloh terdiri daripada isteri dan dua cucu kepada lelaki berusia 66 tahun, yang menjadi kes pertama di negara jiran itu.
コメント