Ekonomi dijangka meningkat enam peratus
- Sarawak Press Daily
- Jan 26, 2020
- 2 min read

KUCHING: Ekonomi Sarawak dijangka meningkat sebanyak lima ke enam peratus pada tahun ini ekoran pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan dalam perbelanjaan awam serta lebih banyak dana disuntik membolehkan negeri ini mencapai pertumbuhan terbabit.
"Dengan peningkatan perbelanjaan awam dan lebih banyak dana disuntik menerusi belanjawan tahunan serta inisiatif pembiayaan alternatif, ekonomi kita boleh mencatatkan pertumbuhan antara lima hingga enam peratus tahun ini.
"Kita perlu mencapai pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus setahun jika ingin mencapai status negara maju menjelang tahun 2030,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2020 yang menurut kalendar masyarakat Cina ialah tahun tikus.
Menurut Abang Johari, ratusan projek infrastruktur dan utiliti terutamanya di kawasan luar bandar yang bernilai berbilion ringgit dilaksanakan dalam tempoh dua tahun bermula tahun lalu.
"Ia merupakan bukti komitmen Kerajaan GPS untuk memastikan Sarawak mempunyai rangkaian yang baik untuk memajukan pertumbuhan ekonomi yang kukuh ke arah tahun 2030 dan seterusnya.
"Sempena musim perayaan ini, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan GPS akan melakukan semua yang termampu dalam mengukuhkan ekonomi kita kerana ia adalah dasar kepada kesejahteraan kita,” tambahnya.
"Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak sentiasa konsisten dan tegas dengan dasar yang dapat menjana lebih banyak pendapatan untuk Sarawak.
"Pendapatan yang kita peroleh akhirnya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti,” ujarnya.
Mengulas mengenai tahun tikus pula, Abang Johari memberitahu, beberapa naratif menggariskan haiwan terbabit sebagai pandai dan cepat berfikir, berjaya tetapi puas hati dengan kehidupan yang tenang dan damai.
Oleh itu, beliau mengajak rakyat Sarawak untuk memiliki ciri-ciri haiwan tikus dalam menjalankan kehidupan seharian dan berusaha untuk menjadi masyarakat yang berguna.
-Sarawak Voice-
Comments